Risiko Jaudice/Demam Kuning???

Jaundis berlaku apabila bilirubin iaitu pigmen yang berwarna kuning berkumpul di bawah kulit. Kadarnya yang tinggi menyebabkan kulit kelihatan kekuningan. Apabila sel darah merah dileraikan, ia menghasilkan bilirubin. Semua darah mengandungi bilirubin dan kebiasaannya akan diproses oleh hati dan disingkir melalui pembuangan najis dan air kencing.
Ketika bayi dalam kandungan ibu, proses ini dilakukan oleh hati ibu. Jadi apabila berada diluar, proses ini mula dilakukan oleh hatinya sendiri. Hati bayi yang belum matang mungkin tidak mampu memproses dan membuang bilirubin dengan pantas sepenuhnya beberapa hari selepas dilahirkan. Ini menyebabkan jaundis terjadi.

Biasa berlaku dari hari pertama ke hari ke 4 mengikut jenis jaundis. Kadarnya akan meningkat sehingga 12mg/dl dan boleh meningkat sehingga 15mg/dl. Jika meningkat sehingga 20mg/dl perlu pengawasan yang rapi dari doktor.

Risiko adalah lebih tinggi untuk bayi mengalaminya jika mempunyai penyebab berikut:

  • Bayi lahir pra matang
  • Darah ibu dan bayi yang berlainan.
  • Mempunyai adik beradik yang menghidap jaundis
  • Mempunyai kesan lebam ketika lahir (sel-sel darah merah ini adalah sebahagian dari lebam yang diuraikan dan menjadi bilirubin sebahagian kumuhan)
  • Etnik Asia
  • Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran

Apa itu jaundis?

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah. Jaundis pada bayi adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.

Apa itu bilirubin?

Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan dari pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis.

Adakah sering terjadi jaundis di kalangan bayi?

Jaundis sering berlaku pada bayi. 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.

Jenis-jenis jaundis pada bayi dan penyebabnya?

  1. Fisiologi jaundis
  2. Merupakan jaundis yang paling sering terjadi pada bayi dan tidak merbahaya. Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.

  3. Patologi jaundis
    • Ketidakserasian kumpulan darah antara ibu dan anak. (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).
    • G6PD defisiensi pada bayi. Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Bagaimanapun tidak lebih dari 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir.
    • Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.
  4. Jaundis jenis ini bermula dalam masa dua hari selepas lahir. Ini disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah yang berlebihan akibat:

Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?

Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang. Ianya disebabkan oleh:

  • Penyusuan susu ibu sepenuhnya ( breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak membahaya pada bayi selagi ibu tidak megambil ubat-ubatan tradisional.
  • Penyekatan aliran hempedu dari hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun kes ini jarang terjadi.
  • Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, seorang dari 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.

Haruskah saya bimbang jika anak saya jaundis?

Bayi anda mungkin sihat jika :

  • Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.
  • Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.
  • Bayi anda sihat dan aktif.

Walau bagaimanapun sila dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut.

Apakah tanda-tanda bahaya yang patut saya perhatikan?

Anda harus dapatkan pemeriksaan doktor segera sekiranya :

  • Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
  • Peningkatan kekuningan yang cepat
  • Bayi anda mengalami G6PD defisiensi
  • Anak anda terdahulu pernah mengalami jaundis teruk
  • Bayi anda kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu
  • Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat

Apakah yang doktor akan lakukan?

Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan.

Apakah masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk?

Kadar indirect bilirubin yang tinggi pada bayi baru lahir boleh mencapai tahap bahaya sehingga menyebabkan:

  • Gangguan pendengaran dimana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran.
  • Kerosakan otak yang teruk (kernicterus)

Oleh itu intervensi awal perlu bagi mengelakkan terjadinya komplikasi yang teruk.

Apakah rawatan yang diberikan?

Terdapat 2 jenis rawatan iaitu:

  1. Rawatan foto
  2. Bayi akan diletakkan di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya.

    Rawatan foto pada bayi yang mengalami jaundis.
    Nota: jangan dedahkan bayi anda pada cahaya matahari pagi secara terus kerana ini membahayakan bayi anda.

  3. Pertukaran darah.
  4. Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.

Pencegahan jaundis

Adalah penting untuk kita mengesan dan memantau bayi yang berisiko tinggi untuk terjadi jaundis yang teruk.

Tindakan awal mengesan jaundis dapat memastikan rawatan yang sesuai dan mengurangkan komplikasi.

Apakah yang perlu dilakukan kepada bayi yang mengalami jaundis yang teruk?

Semua bayi dengan kadar bilirubin lebih 20 mg/dL harus mendapat rawatan lanjut diklinik pakar kanak-kanak bagi memantau perkembangan dan pendengaran.

Sekiranya terjadi kerosakan otak akibat jaundis teruk, kanak-kanak tersebut harus dirujuk kepada sekumpulan pakar untuk pemulihan.

Apendiks

Senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh pengidap G6PD defisiensi:

  • Makanan : kacang parang
  • Herba cina yang tertentu
  • Ubat-ubatan(rujuk doktor untuk senarai yang lengkap)
    • Antibiotik seperti sulfamethozazol, nalidiixic acid
  • Bahan kimia
    • Ubat gegat (jangan gunakan pada pakaian.)

Jaundis Neonatal (penyakit kuning bayi juga disebut demam kuning)

Jaundis Neonatal serang bayi baru lahir

Oleh DR ASMUNNI YAHYA
Pakar Perunding Paediatrik

JAUNDIS NEONATAL atau penyakit kuning bayi (juga disebut demam kuning) adalah perkara yang biasa terjadi di kalangan bayi pada minggu pertama kelahiran.

Lebih kurang 60 peratus bayi matang (lahir selepas genap 37 minggu kehamilan) dan 80 peratus bayi pramatang mengalami masalah ini. Jaundis pada bayi terjadi disebabkan pemendapan pigmen bilirubin di dalam tisu, menyebabkan kulit dan mata putih bayi kelihatan kuning.

Pada keadaan biasa, ada sedikit kuantiti bilirubin di dalam darah, tetapi apabila kuantiti bilirubin ini melebihi satu tahap (akibat sebab tertentu) pemendapan bilirubin ke tisu badan dan kulit akan berlaku.

Penyakit kuning bayi boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu penyakit kuning berkonjugat dan kuning tak berkonjugat.

Bilirubin tak berkonjugat adalah antara produk akhir yang terhasil melalui pemecahan sel darah merah yang tamat tempoh hayatnya. Bilirubin tak berkonjugat seterusnya akan diproses kepada bilirubin berkonjugat di hati dan kemudian akan disingkirkan dari badan melalui najis.

Bayi baru lahir mempunyai jumlah sel darah merah yang banyak. Tambahan pula, hati bayi baru lahir belum matang dan tidak dapat memproses bilirubin sepenuhnya, menyebabkan paras bilirubin di dalam darah meningkat dan seterusnya pemendapan berlaku di dalam kulit yang menyebabkan kekuningan.

Penyakit kuning tak berkonjugat

Sebilangan bayi sihat mengalami masalah kekuningan pada hari kedua dan menjadi nyata menjelang hari ketiga dan keempat selepas kelahiran.

Fenomena ini adalah masalah fisiologi tubuh badan bayi dan kuning ini dipanggil jaundis fisiologikal.

Masalah jaundis fisiologikal tidak berlaku dalam masa 24 jam pertama kelahiran dan tidak melebihi jangka masa dua minggu dalam bayi matang atau tiga minggu dalam bayi pramatang. Tahap bilirubin dalam darah juga tidak tinggi (iaitu kurang dari 250 mmol/L atau 12 mg/dL).

Beberapa punca boleh menyebabkan peningkatan paras bilirubin dalam tisu, antaranya:
Penyakit kekurangan enzim G6PD di dalam darah.
Ketidaksesuaian kumpulan darah antara ibu dan bayi – iaitu faktor rhesus atau ABO
Terlalu banyak sel darah merah (polycythemia)
Masalah kecederaan ketika lahir. Bayi yang lahir melalui kaedah vakum atau forsep mungkin mengalami masalah pendarahan di bawah bahagian kepala, sama ada di bawah selaput yang menutupi tulang tengkorak (cephalhaematoma) atau di bawah tisu lembut kepala (pendarahan subaponeurosis)

Semua masalah di atas akan menyebabkan pemecahan sel darah merah dan seterusnya jaundis. Penyakit kuning tak berkonjugat juga boleh berlaku kerana keadaan luar biasa seperti hypothyroidism, jangkitan kuman, ibu menyusu yang memakan jamu atau ubat tradisional tertentu, anak yang tidak menyusu secukupnya dan ‘breast milk jaundice’.

‘Breast milk jaundice’ boleh terjadi disebabkan kandungan susu ibu yang luar biasa dan mungkin mengandungi komponen ‘beta glukoronidase’ yang boleh merencatkan pemprosesan bilirubin tak berkonjugat kepada berkonjugat.

Penyakit kuning berkonjugat

Antara punca paling penting menyebabkan penyakit kuning berkonjugat adalah masalah biliary atresia, di mana saluran hempedu tidak normal dan tersekat.

Ini menyebabkan paras bilirubin berkonjugat meningkat di dalam darah. Tambahan pula, bilirubin berkonjugat yang terhasil tidak dapat disingkirkan melalui najis, seterusnya menyebabkan najis bayi kelihatan pucat keputihan dan air kencing berwarna gelap. Penyakit biliary atresia memerlukan rawatan pembedahan.

Kesan-kesan jaundis

Apabila tahap bilirubin tak berkonjugat tinggi, ia boleh melepasi lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan termendap di sel-sel otak. Jika jaundis tidak dirawat, bayi boleh mengalami masalah pendengaran atau lebih teruk lagi masalah terencat akal (kernicterus).

Rawatan jaundis

Jika bayi anda kelihatan kuning, jumpalah doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan darah akan dilakukan untuk menilai paras bilirubin di dalam darah. Berdasarkan keadaan bayi dan pemeriksaan darah, doktor kanak-kanak anda akan menilai sama ada rawatan susulan diperlukan.

Rawatan yang biasa dilakukan untuk bayi jaundis adalah rawatan fototerapi. Fototerapi adalah rawatan cahaya biru yang boleh menukar struktur bilirubin tak berkonjugat kepada lumirubin, di mana ia senang dikumuhkan di hati dan disingkirkan melalui najis.

Fototerapi perlu dilakukan berterusan; bayi didedahkan kepada cahaya biru ini tanpa pakaian dan mata bayi akan ditutup dengan penutup mata khas.

Rawatan fototerapi ini akan dihentikan apabila tahap bilirubin darah menurun ke tahap selamat. Rawatan fototerapi boleh dilakukan di hospital atau jika paras bilirubin tidak terlalu tinggi melalui ‘home phototherapy; di rumah anda.

Rawatan penukaran darah akan dilakukan apabila paras bilirubin tak berkonjugat dalam darah terlampau tinggi, iaitu melebihi 340mmol/L, walaupun setelah diberi rawatan fototerapi.

Jika anak anda sudah menerima rawatan fototerapi, pemeriksaan susulan perlu diadakan untuk memastikan tahap bilirubin tidak melambung semula.

Berbincanglah dengan doktor anda sama ada rawatan fototerapi masih diperlukan.

Bayi yang mempunyai paras bilirubin terlampau tinggi atau menerima rawatan penukaran darah perlu mendapat pemeriksaan susulan untuk pemeriksaan perkembangan dan ujian pendengaran.

Ini dari pengalamanku sendiri:

Just nak share…mungkin lain orang lain ikhtiarnya dan berjaya sedikit mengurangkan masalah kuning anak2…

Macam saya baru melahirkan baby ke-4 dan  hari ini dah masuk ke-11 hari …baby boy kali nasib baik takde G6PD seperti Abang Longnya…yg kena warded sampai 10 hari sbb kuning teruk klu baby ada G6PD.
Apa yg saya buat…dpt tips dari sorang makcik masa kat klinik kesihatan bangi…dia kata mandikan baby dgn air aloe vera…dia wat utk cucunya…so lepas dpt tau..suami terus pergi beli kat Nursery kawannya kat depan HITACHI Bangi…saya terus cuba pada hari ke-5…sambil tu jgn abaikan pula kerap menyusu baby memang perlu diambil berat juga elakkan dari mengambil sebarang jamu..mudah2an dpt membantu.
Bacaannya ikut hari buat TSB…kali pertama hingga 3 kena 3 hari berturut2 ambil darah:
1)11.8mg

2)12 mg(baru amalkan mandian air aloe vera)
3)9.7mg(masih amalkan)
4)9.1mg(masih amalkan)

5)7.6mg(sehari sebelum dok bg minum air Zam2 juga jus anggur hijau juga petua nih)

***so doktor kata dah tak payah buat TSB cuma make sure menyusu badan kerap…alhamdulillah)

Lain2 Petua dari Orang2 Tua Dulu2:

1)Mandikan dengna air daun kucai.

2)Mandikan dengan air daun inai.

3)Mandikan dengan air daun belimbing dan buahnya sekali.

4)beri minum air anggur hitam atau hijau..kalau dapat pilih yg manis!

Rujukan lain:

http://www.petuanenek.com/kesihatan/demam-kuning-atau-jaundice-kepada-bayi

Antaranya yang lain ialah:

  • Menjemur bayi pada sebelah pagi di bawah matahari yang tidak terlalu panas. Tutup mata bayi dengan kain supaya tidak terkena silau.
  • Beri bayi lebih air masak atau air zam zam(seelok2nya) supaya kekotoran dan tahap bilirubin yang ada dalam tubuh bayi dapat di singkirkan dengan lebih cepat.
  • Susukan bayi sekerap yang mungkin membolehkan bayi membuang air besar sekerap yang mungkin.
  • Rebus daun bunga raya, daun sirih dan air kelapa. Bilas dan bersihkan ke badan bayi untuk beberapa hari.
  • Tinggalkan dulu pengambilan jamu atau ubat2 yang memanaskan badan anda.
  • Rebus kacang bendi dengan secawan air. Beri bayi minum sekali sehari.
  • Beri bayi minum susu kambing sedikit sahaja kerana susu kambing ini panas.(***info terbaru yg saya dpt kurang sesuai diamalkan)
  • Ambil beberapa sengkuang cina dan di parut untuk di ambil airnya.Beri minum bayi anda satu sudu kecil setiap pagi sehingga penyakit kuningnya hilang.
  • Ambil setengah biji halwa kundur dan di campur dengan air suam kosong. Minum sebanyak 2 kali sehari sehingga sembuh.
  • Ambil beberapa batang pokok dukung anak dan di rebus.Mandikan bayi anda dengan air rebusan ini bila air agak suam sebanyak 2 kali sehari selama beberapa hari sehingga penyakit kuning hilang.
About these ads

~ by sirasain on February 24, 2011.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,820 other followers

%d bloggers like this: