Tiba Masanya Berkhatan!!!

Esok dah kira confirm dengan tuan doktor kat Zalfah Klinik kat Seksyen 4 Tambahan….Abg Long last person yang mengisi kekosongan masa telepon 3-4 hari lepas dengan bayaran RM150 dan keperluan yg perlu dibawa si tuan empunya diri beserta kain pelikat oh la..la..la.
Sebaik jek confirm tetiba takut pulak dia padahal dari tahun lepas beria2 nak bersunat…huhuhu..mana dah boleh cancel….nama dah bagi..kira dah elok umur 10 tahun tuh..nanti lagi malu kalau dah besar panjang!
Sebelum tiba hari besok…2-3 hari ini ibu sibuk mencari maklumat utk info kegunaan diri sendiri…ngan ibu mula rasa kecut perutttt..bila dapat maklumat sana sini dari alam maya….ada juga kawan kata ok teknik SMART KLAMP…pastu ada juga yang menolak kaedah ini….tawakkal ajelah dah confirm dah nak wat camne ye…mudah2an segalanya berjalan lancar!

Apapun kena ada persediaan mental dan fizikal….kena bagi semangat kat Abg Long yg seakan dah patah semangat….begitu banyak soalan cepumas darinya hari2 terakhir ini.

Nak tempek info2 tentang berkhatan ntuk rujukan ibu..mana tau bakal berguna juga untuk para ibubapa yg lainnya:

Sumber 1:

Harga (KL rate):

Sleeve/conventional circum  :  RM70-120
Smart/tara klamp                            :  RM120-150
Laser (available at certain med centre only) :RM500-1200

Sumber 2 : serikasih.blogspot.com

Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang kulit hujung (muncung) zakar. Tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan. Sebagai satu tuntutan agama, berkhatan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Prosedur ini dilakukan ketika kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun dan amat digalakkan ketika mereka berumur 10 tahun ke bawah bagi menghindar sifat malu dan mereka perlu bersih dari najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.

Kelebihan khatan:

Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai ‘smegma’. Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.

Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.

Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi, ‘kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah’. Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.
Buy Apple® Computer Buy a new iMac, MacBook and more direct from Apple.

Kesediaan anak:

Adakah anak-anak anda bersedia untuk dikhatankan? Sebagai ibu bapa, amat penting bagi kita memastikan fizikal dan minda anak kita sihat sebelum berkhatan. Ia dapat mengurangkan komplikasi. Kanak-kanak berada di dalam ketakutan bila mana ayah dan ibu menyuruh mereka berkhatan. Prosedur lebih mudah apabila kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan tenang dan faham apa yang akan dilakukan oleh doktor kepada mereka. Maklumat yang tidak tepat menyebabkan ada kanak-kanak menjerit semasa prosedur dijalankan, malah ada yang cabut lari.

Minda kanak-kanak lelaki perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum prosedur dapat dilakukan dengan mudah dan selamat. Berilah asuhan agama yang mendalam kepada mereka. Terangkan kenapa berkhatan digalakkan dalam agama Islam. Beritahu mereka kelebihan berkhatan. Membawa kanak-kanak lelaki ke majlis kenduri berkhatan adalah cara yang baik. Ia memberi idea kepada kanak-kanak tersebut betapa pentingnya berkhatan. Kadang kala, kita perlu menjanjikan benda kesukaan mereka seperti alat permainan komputer atau basikal jika mereka bersetuju berkhatan. Ianya bukanlah rasuah tetapi sekadar pemudah cara.

Andai anak lelaki anda bersetuju untuk berkhatan, maka bawalah mereka berjumpa doktor atau mereka yang bertauliah. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor bagi mengetahui tahap kesihatan dan juga bagi menghindarkan komplikasi prosedur tersebut. Doktor perlu mengetahui dan memastikan zakar anak anda normal, anak anda tiada penyakit hemofilia (penyakit gangguan pembekuan darah), tidak mengambil ubat yang boleh mengakibatkan pendarahan seperti aspirin atau warfarin, tidak menghidap penyakit jantung reumatik dan penyakit lain seperti kencing manis, sawan, asma dan alahan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat.

Prosedur:

Bagi kanak-kanak yang normal dan sihat, pembedahan ‘dorsal slit’ adalah kaedah berkhatan pilihan Kementerian Kesihatan kerana ia mudah dan selamat. Kaedah-kaedah menggunakan peralatan moden seperti Tara Klamp atau Smart Klamp juga boleh digunakan. Walaubagaimanapun, kaedah ini hanya dilakukan di klinik atau hospital swasta kerana kosnya adalah lebih tinggi berbanding kaedah pembedahan di hospital atau klinik kerajaan.

Pada pagi sebelum ke hospital atau klinik, pastikan anak anda mandi dan beri penekanan kepada kebersihan zakar. Sebelum prosedur dilakukan, pastikan anak anda sudah membuang air besar atau kecil agar tiada sebarang masalah semasa prosedur dilakukan.

Selepas mendaftar dan borang keizinan prosedur ditandatangani, anak anda akan dimasukkan ke bilik pembedahan kecil. Anda boleh menemani anak anda dengan syarat segala prosedur bilik bedah diikuti. Sebelum prosedur, kawasan sekeliling zakar dibersihkan menggunakan bahan pembunuh kuman (disinfektan). Ia untuk memastikan kuman sekeliling tidak menjangkiti luka khatan kelak.

Ubat bius setempat diberikan agar anak anda tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Malangnya suntikan ubat bius kali pertama sedikit menyakitkan. Sebaik sahaja anak anda mengatakan tidak sakit selepas kulit zakar mereka dikepit, maka doktor akan memulakan pembedahan. Untuk makluman semua, ubat bius hanya menghilangkan kesakitan. Anak anda masih boleh merasa zakar mereka disentuh dan dikhatankan.

Sebahagian kanak-kanak menganggap sentuhan gunting itu menyakitkan. Mereka akan menjerit kesakitan walaupun hakikatnya zakar mereka sudah kebas. Kanak-kanak sebegini akan diberikan ubat tidur atau ubat penenang. Pembedahan kecil ini kebiasaannya memakan masa antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada berlakunya komplikasi atau tidak.

Pemulihan:

Selepas prosedur siap, zakar akan dibalut sedikit ketat bagi mengelakkan pendarahan dan mengurangkan bengkak. Anak anda akan dimasukkan ke tempat khas untuk memastikan tiada pendarahan selepas prosedur dan dibenarkan pulang selepas pendarahan dan kesakitan terkawal. Ubat penahan sakit (seperti paracetamol) dan antibiotik dibekalkan untuk lima hari berikutnya. Anak anda dinasihatkan agar mengelakkan pergerakan cergas dalam jangkamasa 24 jam selepas berkhatan.

Selepas prosedur, zakar anak anda akan membesar dan lebam. Jangan risau, keadaan ini adalah normal. Ia akan beransur sembuh dalam satu atau dua minggu. Peringatan! Ibu bapa diarahkan membawa anak mereka ke hospital dengan segera jika berlakunya pendarahan atau zakar membengkak luar biasa. Doktor akan membuat pemeriksaan dan jika perlu zakar anak anda akan dibius sekali lagi bagi membolehkan doktor mencari punca pendarahan dan menghentikannya.

Penggunaan krim berubat untuk mencegah jangkitan kuman tidak digalakkan kerana bahan ini kebanyakannya menghakis pertumbuhan tisu baru dan ini melambatkan proses penyembuhan. Cara mudah untuk mengelakkan jangkitan ialah dengan merendamkan zakar anak anda ke dalam air suam yang sudah dimasak dan diisi satu sudu garam selama 10 hingga 15 minit berulangkali setiap hari sehingga luka betul-betul sembuh.

Sakit selepas berkhatan adalah fenomena yang normal. Kadar kesakitan adalah subjektif bergantung kepada persepsi kanak-kanak tersebut. Sebahagian daripada mereka tidak merasa sakit tetapi sebahagian pula mungkin melolong kesakitan. Jika ubat penahan sakit diperlukan, sila ikut nasihat doktor. Berlebihan dos atau kekerapan mengambil ubat tanpa panduan doktor boleh membahayakan nyawa anak anda. Sebagai contoh, berlebihan mengambil dos paracetamol mengakibatkan kerosakan hati dan kes sebegini telah beberapa kali berlaku di negara kita. Berjumpalah dengan doktor jika kesakitan tidak terkawal dengan dos ubat yang diberikan.

Jangan risau berkenaan benang jahitan pada luka zakar anak anda. Ia akan diserap dalam jangkamasa dua minggu. Jika luka telah sembuh dan benang masih wujud, dapatkan khidmat doktor untuk membuangnya. Membiarkan benang terlalu lama mengakibatkan wujudnya lubang-lubang kecil pada kulit zakar. Ia menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan semasa persetubuhan apabila mereka dewasa dan berkahwin kelak.

Kesimpulannya, berkhatan adalah pembedahan kecil yang amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik. Persediaan fizikal dan minda amat penting kepada anak anda agar prosedur yang dijalankan selamat dan anak anda akan sembuh dengan cepat. Nasihat saya, jika terdapat sebarang masalah selepas berkhatan, segera dapatkan nasihat doktor agar ianya tidak melarat. Wallahualam.

Sumber 3:

Blog Doktor Azwan:
Ramai yang bertanya, mana satu kaedah yang paling baik untuk berkhatan? Jawapan saya – semuanya boleh belaka dan semuanya baik…

Biarlah saya cuba menceritakan kaedah2 yang saya tahu dan daripada pengalaman saya mengkhatankan mungkin sudah beratus kanak-kanak.

Seperti saya tulis di dalam artikel sebelum ini, berkhatan adalah satu prosedur kecil tetapi di dalam perubatan walaupun ia prosedur yang kecil ia boleh membawa kepada risiko. Sebagai contoh, hatta suntikan di bahu menggunakan jarum yang paling halus pun ada juga risikonya yang tertentu. Jadi mari kita sama-sama nilai kelebihan khatan berdasarkan kaedah-kaedahnya dan risiko-risikonya.

Anda perlu tahu risikonya kerana perubatan moden adalah satu yang transparent atau jelas. Ini adalah kerana akhirnya, keputusan yang dibuat adalah di tangan anda dan bukan di tangan doktor. Penjelasan yang dibuat kepada anda akan menentukan keputusan yang akan anda ambil. Oleh itu ia perlu jelas dan difahami.

KAEDAH KONVENSIONAL:

Kaedah konvensional juga ada banyak jenis. Tetapi untuk lebih mudah difahami, ia adalah membuang kulit di hujung kemaluan dengan memotongnya kemudian memberhentikan darah secara manual dan menjahit baki kulit.

Kaedah konvensional ini mengalami sedikit evolusi dengan kehadiran satu alat dipanggil cautery. Cautery ini adalah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri. Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses khatan kurang dari segi pendarahannya.

Ada ibu bapa menyalah anggap dan memanggilnya sebagai “laser” walaupun ia bukanlah sejenis laser. Cautery elektrik pada pasaran semasa berharga antara RM 2500 – RM 5000 mengikut jenisnya. Oleh itu bukan semua klinik atau doktor yang mempunyai alat ini. (Saya pun pinjam dengan orang). Cautery menggunakan bateri daripada jenis yang baik dan tahan lama adalah di dalam lingkungan RM 2000.

Kaedah menggunakan gunting dan pisau (blade) masih juga digunakan oleh sebilangan doktor. Pakar bedah plastik yang mengajar saya berkhatan dahulu pun masih menggunakan kaedah ini. Pendarahan diberhentikan menggunakan teknik “Ligation” iaitu diikat menggunakan benang. Kaedah memberhentikan darah secara ini adalah selamat kerana, saluran darah besar akan tertutup dengan pasti menggunakan benang berbanding membakar menggunakan cautery.

Walaubagaimanapun, cara ini agak lambat. Ia mengambil masa dari 20 minit sehingga 45 minit seorang pesakit. Bergantung kepada pendarahan dan sebagainya. Cara konvensional lebih memudahkan berlaku pendarahan kerana memotong menggunakan gunting atau pisau tidak memberhentikan darah berbanding cautery.

Oleh itu ramai doktor menggunakan kaedah konvensional tetapi memotong kulit dan memberhentikan salur darah menggunakan cautery dan menjahit kulit menggunakan benang “catgut”. Ini mempercepatkan proses berkhatan dari 45 minit kepada 20 minit sahaja untuk seorang pesakit.

KAEDAH KLAMP:

Kaedah klamp (tara klamp, smart klamp) adalah cara terikini untuk berkhatan. Ia adalah cara yang sangat cepat dan kurang pendarahan. Cuba bayangkan 80 orang boleh disunatkan di dalam masa 3-4 jam sahaja dengan 5 buah katil oleh 5 orang operator.

Jika tak silap saya salah satu klamp yang awal dihasilkan

berasal daripada idea seorang doktor berketurunan sikh di Malaysia. Aneh kan? Seorang Doktor yang bukan Islam menghasilkan satu alat yang rata-ratanya orang Islam yang banyak menggunakannya.

Setelah kanak-kanak diberi bius, ukuran klamp dikenalpasti dan alat yang sesuai dengan saiz kemaluan akan dimasukkan. Setelah klamp diaplikasikan di tempatnya yang sesuai, kulit-kulit yang berlebihan akan dipotong (samada menggunakan cautery atau pisau). Pendarahan adalah kurang kerana segala salur darah telah ditekan menggunakan alat tersebut.

Kaedah ini tidak perlu jahitan. Oleh itu ia sangat cepat. Selepas 7 hari pesakit akan datang ke klinik semula untuk membuka klamp tersebut. Adakalanya ia akan jatuh sendiri dan ini memudahkan urusan.

Dari segi kos, kaedah klamp ini agak mahal. Rata-ratanya di klinik mengenakan bayaran daripada RM 200 hingga RM 350 untuk satu prosedur. Harganya mungkin lebih murah di dalam lingkungan RM 150- RM 180 sekiranya diadakan berkahatan beramai-ramai kerana dari segi bilangan peserta yang ramai akan mengurangkan kos.

Ada ramai doktor yang tidak beberapa menyukai kaedah klamp. Ini juga termasuk saya. Ada juga yang pada awalnya menggunakan klamp tetapi akhirnya bertukar kepada kaedah khatan konvensional.

Masalah yang berlaku kepada klamp ialah apabila untuk membuang klamp selepas satu minggu. Klamp akan melekat di kawasan kemaluan untuk menutup salur darah dibahagian kulit yang dipotong. Untuk membukanya kadang-kadang pesakit akan merasa sakit. Sakitnya adalah sebagaimana dia bersunat dahulu. Ada yang menangis kerana kesakitan selama beberapa hari selepas itu.

Sedangkan, kaedah konvensional hanya merana pada waktu bersunat sahaja selepas itu tidak ada lagi kesakitan kerana benang yang dijahit akan hilang sendiri dan tidak perlu dibuang.

Ada juga pendarahan berlaku selepas klamp dibuang. Ini kerana kulit yang diklamp tidak tertutup sepenuhnya kerana masalah jangkitan. Masalah jangkitan boleh berlaku pada teknik klamp dan mengakibatkan luka lambat sembuh. Berbanding dengan kaedah jahitan, luka mudah terbuka kerana tidak ada jahitan yang menyokongnya.

KESIMPULAN:

Cara yang bagaimana anda pilih untuk mengkhatankan anak anda bergantung kepada pilihan masing-masing. Jika tidak mahu pendarahan, pantas dan mudah dijaga maka pilihlah klamp.

Sekiranya mahukan cara konvensional, ada jahitan dan kurang pendarahan, gunakan cara cautery yang masih mengekalkan tradisi lama.

Apapun pilihan anda, di dalam ibadat berkhatan, yang paling penting adalah kebersihan yang terhasil daripada proses tersebut. Ini kerana di dalam Islam, apabila kita berbincang tentang bab Feqah, perkara yang paling awal ialah Thaharah atau Penyucian. Maka kebersihan adalah matlamat utama ibadah ini.

Wallahu A’lam

Sumber 4:http://berita-harian-online.com/140-berkhatan-guna-teknik-smart-klamp/

Ustaz Jamal Nahar Ibrahim, 29, berkata teknik Smart Klamp digunakan kerana ia cepat dan selamat untuk mengkhatankan seseorang individu dengan hanya mengambil masa 15 minit saja.

Pada tahun sebelum ini, dua doktor mengendalikan program khatan itu dan mereka mampu mengkhatankan 20 orang sehari dengan 30 minit diperlukan untuk mengkhatankan seseorang individu, katanya.

Ini kali pertama Masjid Negara menganjurkan program berkhatan menggunakan teknik Smart Klamp.

Bagi program itu, setiap peserta dikenakan bayaran RM150.

Pegawai perubatan dari Rumah Khitan, Mohamad Zaidi Radzuan, berkata selain cepat digunakan, teknik Smart Klamp membolehkan seseorang yang berkhatan terus bergerak tanpa masalah.

Cara dulu, setiap kali berkhatan mesti dijahit dan perlu rehat pada masa yang lama, tetapi dengan berkhatan guna Smart Klamp ini, seseorang itu hanya perlu rehat dalam 24 jam pertama saja, katanya.


About these ads

~ by sirasain on November 26, 2010.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,820 other followers

%d bloggers like this: