Proses Berkhatan

Sumber: Utusan Malaysia/20 November

(Simpan siap2 nanti senang nak rujuk kalau nak khatankan Abg Long..hehe..mcm takut2 lak dia bila tanya bila nak khatan..dah ready ke???)

Khatan, yang juga dikenali sebagai ‘masuk jawi’ atau bersunat, menjadi antara acara utama cuti sekolah untuk kanak-kanak lelaki, bagi memberikan mereka cukup masa untuk pulih sebelum kembali ke sekolah.

Bagi kanak-kanak lelaki Islam, berkhatan tidak dapat dielakkan sebagai satu tuntutan agama. Namun, terdapat juga kanak-kanak bukan dari keluarga Islam yang berkhatan atas sebab-sebab kesihatan.

Khatan melibatkan pembuangan sedikit kulit pada pangkal zakar kanak-kanak lelaki untuk membersihkan kawasan tersebut supaya najis tidak terkumpul. Ianya juga telah terbukti mampu mencegah pelbagai penyakit berjangkit.

Pengalaman perlu dihadapi

Tidak pelik untuk kanak-kanak berasa gentar terhadap sesuatu yang melibatkan perkataan ‘pemotongan, menggunting, atau membuang’ sebahagian daripada anggota badan.

Tambahan pula, sudah sekian lama menjadi amalan masyarakat untuk menakut-nakutkan kanak-kanak mengenai proses berkhatan sebagai satu gurauan atau amaran bagi mereka yang nakal.

Lebih-lebih lagi jika kanak-kanak perlu berkhatan pada usia lebih muda, kurang memahami apa yang akan dilalui atau dalam keadaan belum bersedia menghadapinya.

Ramai yang setelah dewasa menceritakan bagaimana mereka melalui ‘detik-detik cemas’ berkhatan dan mengalami ‘trauma’ yang tidak dapat dilupakan.

Proses berkhatan yang dilalui ‘golongan trauma’ ini tidak jauh berbeza berbanding kanak-kanak lain tetapi lebih kepada kejutan kerana tidak memahami apa yang sedang berlaku ketika itu dan rasa takut yang melampau.

Selalunya kanak-kanak akan dikhatankan sebelum mencecah umur 12 tahun. Namun sesetengah pihak berpendapat berkhatan pada usia lebih awal memberi manfaat tertentu.

‘Lebih awal lebih baik’ sering dikatakan sesetengah ibu bapa yang mengkhatankan anak seawal umur tujuh tahun, dan ada juga yang terus dikhatan selepas dilahirkan.

Awal atau lambat ada baik dan buruknya. Namun yang perlu ditegaskan adalah penerimaan kanak-kanak dalam menjalani proses berkhatan supaya tidak meninggalkan kesan psikologi mendalam sehingga dewasa.

Pakar Perunding dan Bedah Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Nanda Kumar Rajendram menjelaskan sesetengah kanak-kanak akan berasa amat takut sebelum menjalani proses berkhatan.

“Ada kanan-kanak yang meronta semasa proses berkhatan kerana takut dan ini akan menyukarkan tugas doktor mencucuk ubat bius dan memotong kulit yang ingin dibuang.

“Oleh itu, kadangkala mungkin lebih sesuai bagi kanak-kanak yang terlalu takut untuk menggunakan bius penuh bagi memudahkan proses khatan (dan mengelakkan trauma),” katanya.

Menurut beliau, tidak salah jika kanak-kanak tersebut dikhatankan pada usia yang lebih tua sedikit kerana mereka mungkin akan lebih berani menghadapi proses khatan.

Tambahnya, tisu kulit yang perlu dipotong itu juga tidak jauh berbeza berbanding pada usia lebih muda, bertentangan dakwaan sesetengah pihak yang kulit tersebut akan menjadi liat untuk dipotong.

Pemeriksaan

Selain tuntutan agama dan masalah jangkitan kuman, khatan juga dilakukan untuk kanak-kanak yang mempunyai lubang kencing terlalu kecil.

Menurut Dr. Nanda, khatan dapat memudahkan kanak-kanak membuang air kecil terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah kencing tidak lawas disebabkan lubang pada hujung kulit foreskin terlampau sempit.

“Bagi pesakit yang mengalami jangkitan yang berulangan pada bahagian kulit tersebut, mereka mungkin perlu berkhatan lebih awal bagi mengelakkan masalah lebih teruk kelak.

“Khatan kerana masalah kencing tidak lawas ini banyak dihadapi kanak-kanak bukan Islam yang kebanyakannya berkhatan atas sebab kebersihan diri,” ujarnya.

Beliau menyatakan kira-kira lima hingga 10 peratus pesakit yang berkhatan di KJMC berbangsa Cina atau India.

Namun, jelasnya, kebanyakan daripada mereka adalah golongan dewasa yang memilih untuk berkhatan atas sebab-sebab peribadi.

“Pesakit paling tua yang pernah saya khatan berbangsa Sikh dan berumur lebih 50 tahun. Untuk golongan dewasa, tiada alat bantuan boleh digunakan dan hanya melalui teknik biasa jahitan,” jelasnya.

Sebelum berkhatan, pesakit perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk pemeriksaan dan penilaian.

Ini dapat membantu doktor menentukan jika perlu menggunakan ubat bius setempat sahaja atau bius penuh di samping memastikan kaedah khatan yang sesuai untuk pesakit.

Doktor juga perlu memastikan tiada masalah kesihatan yang mungkin menyebabkan komplikasi seperti hemofilia, dan mengesan masalah kesihatan sampingan yang dapat dirawat serentak.

Klinik atau wad

Dr. Nanda memaklumkan pesakit yang sudah diperiksa akan dibawa sama ada ke klinik KJMC untuk terus berkhatan atau diberikan tarikh kemasukan wad bagi yang memerlukan bius penuh.

“Seperti yang dikatakan tadi, sesetengah kes mungkin memerlukan atau lebih sesuai menggunakan bius penuh. Untuk itu, pesakit perlu dimasukkan ke wad dahulu.

“Jika tidak memerlukan bius penuh, proses khatan akan mengambil masa kira kira setengah jam, dan kanak-kanak terbabit kemudian akan diberikan ubat serta dibenarkan pulang,” jelasnya

Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan proses khatan dijalankan di klinik biasa kerana seperti pembedahan lain, berkhatan juga memerlukan suasana steril (bebas kuman) untuk dijalankan.

Pesakit juga dinasihatkan berjumpa kembali dengan doktor selepas berkhatan, mengikut waktu ditetapkan, bagi memastikan pemulihan penuh dan mengelakkan komplikasi lain.

Dr. Nanda menjelaskan terdapat sesetengah pesakit yang tidak akan dikhatankan terlebih dahulu memandangkan kulit yang ingin dibuang itu boleh digunakan untuk rawatan masalah tertentu.

“Ada pesakit yang mempunyai masalah lubang di bawah batang zakar yang menyebabkan kebocoran air kencing. Kes sebegini jarang berlaku, tetapi perlu diperiksa jika kanak-kanak tersebut menghidapinya.

“Pesakit boleh menjalani pembedahan untuk berkhatan dan merawat masalah ini serentak kerana kulit pangkal zakar yang ingin dibuang boleh digunakan untuk menutup lubang tersebut,” katanya.

Menurut beliau, ada juga kanak-kanak yang diperiksa mengalami masalah jangkitan kerana kawasan terbabit tidak dicuci dengan elok.

Teknik potongan

Menurut Dr. Nanda, terdapat beberapa teknik berbeza untuk memotong kulit zakar yang ingin dibuang.

“Ada doktor yang menggunting kulit tersebut secara memanjang terlebih dahulu bagi membentuk beberapa segmen sebelum dipotong ke tepi untuk membuang kulit berkenaan.

“Cara ini dapat mengelakkan kecederaan kepada kepala zakar dan tidak meninggalkan terlalu banyak kulit berlebihan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan antara teknik lain yang digunakan adalah teknik gilotin (pancungan) dengan menarik hujung kulit yang ingin dibuang ke depan dan terus dipotong ke tepi.

“Teknik ini bagaimanapun lebih bahaya, terutamanya jika tidak biasa dilakukan, kerana boleh menyebabkan kecederaan atau terpotong sebahagian kepala zakar.

“Tambahan pula, kulit yang tertinggal juga lebih banyak dan tidak sekata, menyebabkan rupa cantuman kulit (antara kepala dan batang zakar) kurang cantik,” jelas beliau.

Selain itu, Dr. Nanda menjelaskan terdapat juga kekeliruan di kalangan ibu bapa mengenai penggunaan laser dalam proses berkhatan.

“Apa yang dikatakan pemotong laser sebenarnya adalah pemotong haba yang ‘membakar’ bahagian kulit yang ingin dibuang. Laser tidak digunakan untuk berkhatan di Malaysia.

“Kaedah pemotongan ini boleh mengurangkan pendarahan serta mengelak penggunaan pisau ataupun gunting,” tegasnya.

Beliau menyatakan kaedah pemotong haba tersebut hanya untuk memotong kulit yang ingin dibuang dan baki kulit tetap perlu dijahit.

Penyembuhan dan komplikasi

Tahap penyembuhan selepas berkhatan tidak semestinya sama walaupun jika melalui proses yang serupa.

Dr. Nanda menjelaskan tahap penyembuhan akan mengikut individu, dan kebiasaannya hanya mengambil antara satu ke dua minggu jika tiada masalah, mengikut prosedur yang digunakan.

“Kanak-kanak yang berkhatan biasanya sembuh dalam tempoh yang dianggarkan tetapi kadangkala ada yang mengalami komplikasi.

“Masalah jangkitan adalah sesuatu yang mungkin berlaku, tidak kira jika ia melibatkan penggunaan alat pengapit ataupun jahitan,” katanya.

Menurut beliau, ada pesakit yang tidak suka jahitan dan ada juga yang tidak selesa dengan penggunaan alat pengapit (tekanan pada kulit).

Antara komplikasi yang dikhuatiri dengan penggunaan alat pengapit adalah cantuman baki kulit pada batang dan kepala zakar menjadi senget. Ini berlaku apabila pemasangan alat pengapit (yang perlu dipusing sedikit) menyebabkan lapisan kulit luar teralih sementara lapisan kulit dalam tidak bergerak.

Komplikasi biasa untuk jahitan pula melibatkan sedikit pendarahan. Walaupun tidak teruk dan biasanya tiada masalah besar, ia mungkin akan membimbangkan ibu bapa.

Asasnya di sini, teknik dan prosedur berkhatan tidak banyak bezanya dan kebiasaannya akan membolehkan kanak-kanak kembali aktif dalam masa singkat. Namun perlu juga dipastikan proses berkhatan tidak memberi kejutan besar kepada anak sehingga menjejaskan masa depan mereka.

Bukan hanya dengan memilih prosedur terbaik untuk mereka, ibu bapa dan penjaga perlu menyediakan mereka untuk menghadapi tekanan sebelum, semasa dan selepas berkhatan.

Apa yang perlu ditekankan bukan hanya satu kewajipan untuk menyediakan kemudahan (perubatan) berkhatan terbaik untuk anak-anak anda, tetapi juga menyokong dan meyakinkan mereka bahawa ianya bukan sesuatu yang perlu digeruni. Elakkan pengalaman berkhatan menjadi satu detik hitam dalam sejarah hidup anak anda.

About these ads

~ by sirasain on November 20, 2008.

One Response to “Proses Berkhatan”

  1. bahayakah berkhatan bagi umur yang 25tahun, apa yang kena diperhati kalau nak berkhatan. mana boleh dapat tau dimana satu klinik yang lebih pengalaman dan berapakah harganya? terima kasih…….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,820 other followers

%d bloggers like this: